Mengapa dekad 1960an gerakan mahasiswa hebat tetapi tidak sekarang? Itulah persoalan yang sentiasa berlegar dalam benak kita apabila membaca sejatah gerakan pelajar tahun 60an namun kita harus memahami bahawa latarbelakang sosial’ ekonomi dan politik hari ini dengan 40 tahun yang lampau mempunyai jurang perbezaan yang luas.Adalah tidak adil untuk membandingkan gerakan pelajar dekad itu dengan apa yang ada pada hari ini.Dekad 60an pula semarak kebangkitan berlaku pada pertrengahan dekad kerana beberapa faktor, diantaranya sebagaimana yang dirakamkan oleh Muhammad Abu Bakar (1971: 44-46)
Suasana baharu dan proses perjuangan yang makin hebat sebagai mana berlaku dalam tahun-tahun 1966 dan 1967 adalah berkaitan rapat dengan faktor-faktor perubahan yang berlaku di dalam dan di luar negara.Hal ini juga mempunyai hubungan dengan tradisi mencabar yang telah pun disemai pada tahun-tahun yang lebih awal dan dipupuk dalam tahun-tahun 1964 dan 1965.Dari seberang laut telah tersebar berita-berita mengenai pemberontakan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar,yang mana telah mencurah-curah masuk ke dalam negara ini menerusi radio dan akhbar semenjak lewat tahun 1964,apabila mahasiswa-mahasiswa berdemonstrasi di kampus Universiti Berkeley.Berita-berita seperti ini sudah tentu mempengaruhi jiwa dan tindak tanduk pelajar-pelajar Malaysia.Sememangnya pengaruh luar negara sangat mengesani perkembangan sosiopolitik negara ini semenjak awal abad 20 apabila kemunculan intelengensia Melayu seperti gerakan Pan Islamism, diikuti pengaruh nasionalisme di Indonesia serta gerakan Turki Muda.
Faktor penyumbang yang lain kepada kebangkitan pelajar ialah tertubuhnya Speakers’Corner atau “Sudut pidato”pada tanggal 27 Mei,1966.Peristiwa ini memberi erti yang besar dalam perjuangan pelajar-pelajar Universiti Malaya,kerana hampir kesemua demonstrasi yang di adakan selepas tarikh tersebut bermula dari perbahasan di sudut itu dengan asakan semangat dan idealisme oleh pimpinan-pimpinan kampus.
Menurut Muhamad Abu Bakar (1971), pembukaan “Sudut Pidato”itu telah di sambut oleh akhbar The Alliance,October 1967,dengan menganggapnya sebagai Malaysia’s Hyde Park.Seterusnya akhbar itu mengulas, ‘….with the emergence of the Speakers’Corner,the Universiti is no longer referred to as an High School.’Hal ini agak tepat sekali kerana di situlah nanti pelajar-pelajar mengadakan dialog-dialog mengenai masalah universiti dan negara dengan bebas sekali,bersesuaian dengan cita-cita pengasasnya yang mahu agar pelajar-pelajar menggunakannya sepenuhnya bagi menyatakan fikiran mereka.
Sudut pidato dengan kata lain memberikan ruang untuk mengasah bakat tanpa rasa takut malah pandangan awam boleh dicetuskan daripada sudut pidato ini. Sudut pidato UM telah memunculkan ramai pemimpin-pemimpin pelajar yang berani dalam era 60an dan 70an.Di sini juga menjadi garis mula untuk sebarang aktiviti perarakan di dalam kampus selepas pelajar mendengar pidato daripada pemimpin mereka.Bahkan persatuan pelajar kadang-kadang mengundang tetamu-tetamu luar bagi memeriahkan sudut pidato, juga lokasi mereka menghimpunkan peralatan dan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan
(i) Gerakan kebajikan
Gerakan mahasiswa pada awal dekad ini oleh kerana jumlahnya yang terhad , hanya Universiti Malaya yang berpindah kampus dari Singapura maka kelompok mahasiswa lebih menfokuskan keoada isu-isu kebajikan. Keadaan politik masih dalam cengkaman kerajaan akibat tindakan mengekang penularan pengaruh komunis maka pelajar lebih menfokuskan aktivisme mereka kepada gerakan kebajikan.
Peristiwa yang terpenting berlaku dalam tahun 1963 ialah konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia ke atas Malaysia. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya menerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Persekutuan telah mengadakan perarakan sebagai menunjukkan taat setia kepada kerajaan di atas soal tersebut. Sekalipun, sebagaimana yang pernah ditekankan oleh setengah pemimpin-pemimpin mahasiswa, peristiwa demonstrasi oleh pelajar-pelajar itu adalah satu peristiwa bercorak politik yang penting dalam konteks perjuangan mahasiswa
Tunjuk-tunjuk perasaan juga berlaku dalam tahun 1964 apabila mahasiswa mahu dipecat oleh pihak Universiti kerana menjalankan “ragging”- yakni satu peristiwa penting yang menjadi perbincangan hebat dalam bulan Julai tahun itu. Mahasiswa-mahasiswa seramai 1,000 orang telah tampil berdemonstrasi menuntut agar mereka yang ditangkap itu dimaafkan oleh pihak Universiti. Pelajar-pelajar telah berkabung dengan memakai kain-kain hitam pada lengan mereka sebagai tanda dukacita terhadap tindakan pihak universiti. Protes ini lebih merupakan perasaan tidak puas hati terhadap pihak establishment -universiti sendiri- dan bertujuan membela kebajikan para pelajar. (Muhamad Abu Bakar: 1971)
Walaupun dilihat memperjuangkan isu yang tidak besar namun bantahan ini telah berjaya menyuntik budaya peduli dan rasa kekitaan kepada pelajar Universiti Malaya pada waktu itu .
(ii) Penubuhan Kelab sosialis
Ideologi Sosialisme telah menjadi fahaman yang popular dalam dekad 50an dan 60an termasuk di Malaya sendiri.bahkan gerakan ini mempunyai sumbangannya yang tersendiri terhadap perjuangan kemerdekaan tanahair. Idea-idea keadilan sosial, memiliknegarakan perusahaan penjajah, pembahagian kek negara dengan adil adalah tema-tema sosialis yang menarik minat anak-anak muda yang hidup dalam dunia idealisme.Dekad ini juga menyaksikan fahaman sangat berpengaruh dalam percaturan politik di rantau nAsia Tenggara, contohnya serpihan kelompokmini telah keluar daripada Parti PETIR di Singaupara dan telah membentuk Sosialis Front , menang dalam Pilihanraya kecil di Anson dan Hong Lim. Parti Rakyat Brunei yang dipimpin oleh A.M Azahari telah menang dalam pilihanraya Brunei pada tahun 1962. Soekarno pula sangat dipengaruhi oleh fahaman sosialis dengan pengubahsuaian baru yang digelar marhaenisme.Begitu juga dengan parti berhaluan kiri progresif di Malaysia seperti Parti Rakyat dan Parti Buruh yang sangat berpengaruh.
Dalam konteks gerakan pelajar berjalur sosialis, Kelab Sosialis Universiti Singapura telah ditubuhkan pada tahun 1953 dan telah mencatatkan peranan yang besar dalam perkembangan politik di Pulau itu, seperti penahanan lapan orang sidang pengarang Fajar iaitu lidah rasmi kelab itu oleh pihak berkuasa Inggeris dan telah dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan menghasut. Tangkapan telah dibuat pada bulan Mei 1954 akibat sebuah rencana pengarang yang bertajuk ‘ Pencerobohan Di Asia’ yang mengritik Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara.Diantara tokoh pemimpin kelab sosialis pelajar ini ialah Razak Ahmad yang pernah menjadi Pesiden (KSU) dalam lingkungan tahun 1963 sehingga 1966. (Syed Hamid Ali: 2007).
Semaraknya fahaman sosialis di luar kampus termasuk kelab sosialis pelajar di luar negara turut mempengaruhi para mahasiswa di negara ini dan mereka telah menubuhkan Kelab Sosialis Universiti Malaya (KESUMA). Kelab ini akhirnya telah menjadi kumpulan pendesak yang agak popular dalam dekad ini berbanding dengan gerakan pelajar lain.
Penubuhan kelab Sosialis sebelumnya telah terdapat usaha-usaha untuk menubuhkan pertubuhan-pertubuhan politik di kampus, tetapi mengalami kegagalan. Kelahiran kelab sosialis yang cuba berjuang mengikut landasan sosialisma ini meletakkan kedudukan masyarakat kampus dalam keadaan yang semakin peka kepada alam politik dalam dan luar negara, Menurut Muhamad Abu Bakar (1971) hal ini adalah berpunca dari isu-isu politik yang sering diketengahkan olehnya samada dalam bentuk kenyataan-kenyataan akhbar atau pamplet yang disebarkan ,atau daripada peranan-peranan penting yang dimainkan oleh anggota-anggotanya semasa mereka memegang teraju pemimpin PMUM khasnya. Umpamanya semasa PMUM mengadakan kempen pilihanraya pada awal tahun 1969, kebanyakan dari pemimpin-pemimpinnya yang mengambil bahagian adalah terdiri dari anggota-anggota kelab sosialis.
(iii) Peristiwa Hamid Tuah
Hamid Tuah ialah seorang pejuang tanah yang telah menimbulkan kontroversi, pada awal dekad 50an beliau dan para petani yang menjadi pengikutnya telah meneroka tanah hutan untuk dijadikan penempatan dan tanah pertanian tetapi kerajaan menyifatkan usaha keras Hamid dan rakan-rakannya tidak menepati undang-undang tanah kerajaan.Pada bulan Disember 1960 beliau telah dikenakan tindakan undang-undang kediaman terhad di Kuala Kubu Baru, Selangor. Pada tahun 1967 , Hamid Tuah sekali lagi memimpin para petani untuk meneroka tanah di Teluk Gong Kelang.Seramai 500 orang petani melayu miskin yang kelaparan tanah telah menyertai usaha meneroka tanah kerajaan namun kerajaan telah mengambil tindakan tegas dengan mendgistiharkan darurat di kawasan itu serta mengirim anggota keselamatan menahan para petani dan memusnahkan tanaman mereka.
Hamid Tuah adalah lambang kegigihan bangsa tertindas di tanah air sendiri, beliau sekali lagi memimpin petani-petani Melayu meneroka tanah kerajaan di Selangor pada awal tahun 1969. Kerajaan akhirnya telah menahan Hamid dan empat orang pengikutnya pada 4 Januari , mereka ditahan di kem tahanan Muar dan Batu Gajah selama dua tahun. Perjuangan dan penderitaan rakyat ini telah menjadi tema perjuangan kaum pelajar dalam dekad 60an.
Peristiwa Hamid Tuah telah juga meyebabkan satu krisis besar berlaku dalam organisasi PBMUM. Tindakan presiden PBMUM,Sanusi Osman menyokong penerokaan tanah secara haram yang dilakukan oleh Hamid Tuah dan pengikut-pengikutnya , kesungguhan beliau memperjuangkan kaum tani telah menimbulkan syak wasangka di kalangan setengah anggota-anggota PBMUM, yang merasa bahawa beliau telah dijadikan alat oleh sebuah badan politik, dan hal ini bukanlah suatu perkara yang mengejutkan, kerana beliau itu merupakan seorang anggota aktif partai Rakyat yang sedang memperjuangkan nasib proletariat di negara ini. Konflik ini menyebabkan satu mesyuarat agung luar biasa dipanggil bagi membincang usul tidak percaya terhadap Sanusi Osman sebagai presiden dan ahli-ahli jawatan kuasa kerja di bawah beliau.(Mohamad Abu Bakar:1971 )


salam, minta us komen artikel t’baru us hasrizal..
Salam, Sanusi Osman adakah masih ada lagi pada dekad ini. Ingin sekali saya berjumpa dengannya untuk mengimbau kembali zaman perjuangan PBMUM